Permohonan Meninggi Tahap Pengajian Bagi Sesi Pengajian September 2019/2020
SURAT PEMAKLUMAN UNIT PENUNTUT-PENUNTUT BILANGAN 01/2019
Dengan ini sukacita dimaklumkan kepada Penuntut-Penuntut Biasiswa Kerajaan Tahun Akhir pengajian kursus Ijazah Pertama dan Ijazah Lanjutan (Postgraduate) yang bukan diikatjanji sebagai Pendidik dan berhajat untuk Meninggi Tahap Pengajian bagi sesi pengajian September 2019/2020 adalah dipelawa untuk menghadapkan permohonan secara bertulis dan melengkapkan Borang Meninggi Tahap mengikut syarat-syarat yang dikuatkuasakan pada masa ini.
- Sehubungan itu, penuntut-penuntut adalah disarankan untuk membaca dan meneliti terlebih dahulu isi kandungan Surat Pemberitahuan Kementerian Pendidikan Bilangan 13/2018 melalui link berikut sebelum membuat permohonan Meninggi Tahap.
- Surat Pemberitahuan Kementerian Pendidikan, Bilangan: 13/2018 [Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke luar negeri bagi sidang akademik 2019/2020] (link Surat Pemberitahuan)
- Borang Permohonan Meninggi Tahap Pengajian (2 pilihan sahaja mengikut keutamaan) yang telah lengkap diisikan hendaklah dihadapkan ke Unit Penuntut-Penuntut bermula 1 Februari 2019 dan tidak lewat dari 30 April 2019 (tarikh tutup penghantaran ke Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan melalui UPP ialah pada 31 Mei 2019) dengan menyertakan maklumat dan dokumen berikut:
- Dua (2) pilihan kursus mengikut keutamaan dan hendaklah daripada tajuk kursus yang disenaraikan di dalam Surat-Surat Pemberitahuan;
- Kertas Kerja Cadangan (Proposal Dissertation) bagi permohonan Master by Research (sila rujuk Borang Meninggi Tahap bagi garispandu membuat Kertas Kerja Cadangan);
- Surat sokongan daripada pihak universiti/ kolej;
- Surat tawaran jika telah diperolehi (bagi yang belum menerima sebarang tawaran, hendaklah dihadapkan ke UPP sebaik sahaja diperolehi dengan segera);
- Isi kandungan (course content/ summary/ outline) kursus yang dipohonkan;
- Keputusan tahun akhir keseluruhan jika telah diperolehi dan di sahkan oleh universiti untuk dihadapkan ke UPP dengan seberapa segeranya;
- Keputusan peperiksaan GCE ‘O’ Level/ A-Level/ IB/ IELTS dan salinan sijil-sijil atau anugerah yang pernah diterima (jika ada).
- Maklumat Sistem Penggredan Universiti (Grading System)
- Penerima-penerima Skim Biasiswa Pinjaman Pendidikan dan penuntut-penuntut persendirian yang sedang mengikuti pengajian di United Kingdom dan berhasrat untuk memohon Biasiswa Kerajaan hendaklah memohon terus ke Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan sebagai permohonan baru.
- Penuntut-penuntut yang berhasrat untuk mengikuti kursus lanjutan (Postgraduate) dalam bidang Kejuruteraan, Sains dan Teknologi adalah dikehendaki untuk mendapatkan sijil ATAS (Academic Technology Approval Scheme) sebelum memohon untuk mendapatkan visa.
- Sayugia juga diingatkan supaya pelajar-pelajar terlebih dahulu memahami dan meneliti syarat-syarat utama dan tambahan bagi memohon kursus Ijazah Lanjutan, Ikhtisas dan Ijazah Falsafah Kedoktoran sepertimana yang ditetapkan di dalam Surat-Surat Pemberitahuan Kementerian Pendidikan dan membuat perancangan serta pemilihan kursus secara teratur sebelum menghadapkan permohonan Meninggi Tahap Pengajian bagi sesi 2019/ 2020.
- Memandangkan pemakluman ini disiarkan lebih awal sebelum tarikh tutup, adalah menjadi tanggungjawab pelajar untuk merancang dan menyediakan kertas cadangan lebih awal dan teratur terutama sekali sebelum peperiksaan akhir tahun.
- Sebagaimana lazimnya dan sedia maklum, proses penilaian adalah berpandukan kepada syarat-syarat yang tetah ditetapkan di dalam Surat Pemberitahuan Kementerian Pendidikan termasuklah prestasi akademik, pemilihan kursus dan universiti serta sesi Multiple Mini Interview (MMI).
Borang Meninggi Tahap Pengajian Sesi 2019/20 boleh didapati daripada laman web www.upp.org.uk (link borang)
Sekian disampaikan untuk makluman dan apa jua tindakan mengenainya.
“ Keluarga Bahagia, Masyarakat Sejahtera “
Wassalam
Pg Ali Shafie bin Pg Hj Abas
Pengarah Pengajian
Unit Penuntut-Penuntut, London
Pautan:
1. Surat Permakluman UPP Bil: 01/2019
2. Borang Permohonan Meninggi Tahap Pengajian Sesi 2019/2020
3. Surat Pemberitahuan Kementerian Pendidikan, Bilangan: 13/2018