MENGENAI LAMAN MEDIA SOSIAL PELAJAR (INSTAGRAM, FACEBOOK / TWITTER)

07 February 2020

SURAT PEMAKLUMAN UNIT PENUNTUT-PENUNTUT BIL.7/2020

KEPADA: SEMUA PELAJAR PERSENDIRIAN, PELAJAR PENERIMA BIASISWA KERAJAAN & SBPP YANG BERADA DI UNITED KINGDOM & IRELAND

PER: MENGENAI LAMAN MEDIA SOSIAL PELAJAR (INSTAGRAM, FACEBOOK / TWITTER)

 

Dengan ini sukacita untuk makluman, Bahagian Biasiswa Kementerian Pendidikan, melalui persuratan bilangan KPE/UB/S/2(ATACI-UK) bertarikh 09 Jamadilakhir 1441H / 03 Februari 2020M, baru baru ini berkesempatan membuat pemantauan dan pemeriksaan secara rambang terhadap beberapa laman media sosial pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam yang berada diluar negara.

Bahagian Biasiswa Kementerian Pendidikan telah mendapati sebahagian pelajar telah aktif dan tanpa segan silunya memuat naik gambar-gambar yang tidak melambangkan jati diri KeBruneian. Perkara ini dilihat sebagai mencemarkan reputasi Kementerian Pendidikan dan sangat bertentangan dengan falsafah Negara Melayu Islam Beraja.

Sebagai pemegang Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mahupun pemegang SBPP sewajarnya menjunjung tinggi seruan Raja kita yang pernah mengurniakan titah semasa Majlis Bersama Rakyat, antaranya dipetik seperti berikut:

“Para pelajar sendiri, apabila berada di luar negara, perlu bijak menimbang atau menilai kepelbagaian ini, dengan tidak mengabaikan ugama, identiti dan bahasa ibunda. Kerana semua ini merujuk kepada harga diri bangsa”

22 Disember 2019, London, United Kingdom.

 

“Di samping itu, para pelajar juga janganlah mudah lupa diri, bahawa mereka adalah anak-anak Brunei sejati, Selaku orang Brunei, mereka adalah dengan pegangan budaya dan identitinya sendiri. Bawa dan penganglah kuat-kuat pegangan, budaya dan identiti ini, jangan ia dilepaskan atau ditukar ganti. Inilah aset kita. Inilah ‘harga’ diri kita.

Dengan  bahasa yang mudah, kita adalah pemilik MIB, MIB itulah sistem kita, MIB itulah identiti kita, Jika kita membuang MIB, bererti, sama dengan kita menolak sistem dan mangaburi identiti sendiri. Jadi, siapa kita pada ketika itu?

17 Mac 2018, Sydney, Australia.

 

Ke arah itu, sebagai langkah peringatan awal, sukacita dipohonkan kerjasama pelajar, bahawa Unit Penuntut-Penuntut memberikan tempoh selama 14 hari (bermula dari tarikh pengumuman) bagi melaksanakan perkara berikut:

 

A.    Dikehendaki untuk menghapus gambar-gambar (tidak beretika) yang telah dimuat naik ke dalam laman media sosial berkenaan atau menjadikan laman sosial kepada tatapan ‘private’:

 

B.   Surat amaran secara bertulis akan diberikan kepada pelajar terbabit dengan salinan diberikan kepada kedua penjamin, jika didapati masih ada yang belum melalaksanakan perkara A ; dan

 

C. Sekiranya masih berdegil dan tidak memberikan maklum balas mengenai perkara B, status pelajar akan dirujuk kepada Jawatankuasa Biasiswa bagi penamatan biasiswa Kerajaan atau Skim SBPP.

 

Sekian di sampaikan untuk makluman dan perhatian.

PG ALI SHAFIE BIN PG HJ ABAS

Pengarah Pengajian

Unit Penuntut-Penuntut, London

 

 

PAUTAN