Her Excellency's Message

Puan Yang Terutama
Pengiran Hjh Rooslina Weti Binti Pengiran Hj Kamaludin
Pesuruhjaya Tinggi
Suruhanjaya Tinggi
Negara Brunei Darussalam
London, United Kingdom


بسم الله الرحمن الرحيم

Salam Sejahtera

Dengan bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan izin, taufiq dan hidayahNya jua kita dapat dipertemukan di Kota London ini dalam suasana mahabbah diantara pegawai-pegawai dan juga para penuntut yang melanjutkan pelajaran mereka di sini.

 

Saya secara peribadi ingin mengucapkan selamat datang kepada semua penuntut yang berada di United Kingdom dan Ireland dan juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Dengan peluang ini, saya ingin mengingatkan dan menasihati para penuntut agar dapat memanfaatkan masa yang ada di sini dengan menumpukan kepada tujuan dan matlamat asal iaitu untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dan seterusnya balik ke tanah air untuk berbakti kepada negara yang tercinta Negara Brunei Darussalam.

 

Kejayaan setiap penuntut adalah harapan negara, bangsa, masyarakat, dan keluarga memandangkan mereka ini merupakan aset yang terpenting dalam membangun sesebuah bangsa dan negara. Dalam hal ini, aset ini hendaklah dipelihara dan dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan juga kemahiran. Selain hebat dari segi akademik, penuntut-penuntut hendaklah juga bijak menangani cabaran, rintangan dan dugaan yang dihadapi sepanjang tempoh pengajian masing-masing. Ini termasuklah pengaruh-pengaruh asing yang boleh menggugat jati diri bangsa Brunei yang mengamalkan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) dan Negara Zikir.

Sayugia saya juga ingin mengingatkan para penuntut akan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mana Baginda menekankan tentang kepentingan MIB semasa penuntut-penuntut berada di perantauan jauh dari keluarga dan saudara mara. Antara lain Baginda bertitah

MIB inilah sistem nilai kita. Dimanapun kita berada, MIB tetap bersama-sama dengan kita. Janganlah ia disembaranakan. Menyembaranakan MIB bererti menyembaranakan sistem nilai kita. Tunjang MIB ialah ajaran Islam tulen. Jangan kita berganjak dari ajaran ini. Peganglah ia kuat-kuat tanpa perlu menoleh atau melihat ke mana-mana lagi. Inilah warisan turun temurun, kita mesti berbangga dengannya.

[Petikan Titah sempena Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam di United Kingdom dan Ireland Utara pada Hari Ahad,  1 haribulan Rabiulawal 1437 bersamaan 13 haribulan Disember 2015]

 

Akhir kata, saya berharap agar para penuntut akan sentiasa menanam azam untuk tekun berusaha, berdaya maju dan berdaya saing, fokus kepada matlamat untuk mencapai kejayaan dan cita-cita yang diimpikan serta bersemangat untuk menabur jasa kepada negara yang tercinta. Saya juga berdoa moga para penuntut akan sentiasa berada dalam perlindungan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, selamat dan terhindar dari sebarang kemungkinan yang tidak diingini semasa berada di United Kingdom dan kembali ke pangkuan keluarga tersayang sekaligus dapat membanggakan mereka.

Sekian. Wassalam