His Excellency's Message

Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin
Pengiran Haji Muhammad
Pesuruhjaya Tinggi
Suruhanjaya Tinggi
Negara Brunei Darussalam
London, United Kingdom


بسم الله الرحمن الرحيم

Coretan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam

ke London, United Kingdom

Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad

Pesuruhjaya Tinggi

Suruhanjaya Tinggi

Negara Brunei Darussalam

London, United Kingdom

بسم الله الرحمن الرحیم

الحمد لله رب العالمين والعاقبة للمتقين والصلاة والسلام على رسول الله محمد و على آله و أصحابه أجمعين أما بعد

 

 

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

 

dan salam sejahtera

 

Alhamdullilah, kita menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana dengan limpah kurnia dan izinnya jua, kita dapat dipertemukan di United Kingdom & Eire ini.  Pertama kali saya mengucapkan selamat datang dan setinggi tinggi tahniah kepada semua pelajar di atas kejayaan mereka untuk melanjutkan pelajaran di United Kingdom dan Ireland terutamanya kepada pelajar-pelajar yang baru.

 

Di waktu pandemik wabak koronavirus yang melanda dunia sejak dua tahun yang lalu, bukan penghalang bagi  pihak kerajaan untuk masih menganugerahkan pelajar-pelajar menyambung pengajiannya ke luar negara bagi memperolehi kecemerlangan akademik, pendidikan berkualiti dan pendedahan berharga. Walaupun situasi pasca pandemik wabak koronavirus yang sedang berlaku, pelajar-pelajar sudah semakin arif dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian ataupun hibrid. Pada tahun 2022 ini, kebanyakkan universiti telahpun membuka kampus masing-masing bagi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka, namun untuk membendung wabak ini, ingin saya sarankan kepada pelajar-pelajar untuk masih mengamalkan penjarakan sosial dan mematuhi Standard of Procedure (SOP) yang ditetapkan oleh pihak universiti/kolej dan Kerajaan United Kingdom.

 

Dalam hubungan ini saya mengimbas kembali titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan awal tahun baru Masehi 2022, “Menyebut lagi tentang wabak koronavirus, baru-baru ini dunia dikejutkan pula oleh kemunculan varian baru (Omicron). Menurut sumber mutakhir, Omicron setakat ini telah tersebar hampir ke seluruh dunia, yang menambahkan lagi kebimbangan global”. “Sebagai usaha menghadapi wabak, Brunei telah melaksanakan program vaksinasi kebangsaannya dengan lancar dan berjaya, sehingga mampu membawa Negara ini memasuki fasa endemik”

Dalam usaha memerangi wabak coronavirus, Kerajaan telah melaksanakan program vaksinasi sejak tahun 2021 yang lepas. Dikesempatan ini, ingin saya pohonkan kerjasama daripada pelajar-pelajar semua untuk mengambil dos suntikan vaksin serta dos suntikan vaksin pengalak di mana jua pelajar berada, bagi menyahut saranan Kerajaan KDYMM sebagai langkah untuk mengelakkan diri daripada komplikasi yang serius sekiranya dijangkiti wabak koronavirus.

 

Sayugia jua ingin saya ingatkan kepada  semua pelajar Negara Brunei Darussalam di di United Kingdom & Eire ini untuk sentiasa berhubungrapat dengan pihak Unit Penuntut-Penuntut jika ada sebarang kesulitan, kerumitan atau kesusahan yang dihadapi bagi mengelakkan perkara tersebut berlarutan dan berpanjangan. Masalah tekanan stres atau mental merupanya isu yang sering berlaku di kalangan pelajar-pelajar bukan saja di dalam negara bahkan di luar negara. Tekanan, kerisauan dan kemurungan mungkin dialami oleh pelajar  terutamanya yang tinggal bersendirian dan berjauhan daripada keluarga. Justeru itu, sokongan serta bantuan universiti, rakan-rakan dan terutamanya pihak Unit Penuntut-Penuntut amatlah penting bagi membantu menangani kesihatan mental pelajar. Program-program berbentuk bengkel, kursus serta aktiviti yang diungkayahkan oleh pihak UPP seharusnya diambil peluang bagi meningkatkan lagi mutu pembangunan diri pelajar.

 

Selaku bangsa yang berakidah, kita juga perlu menggandakan usaha-usaha kerohanian (spiritual) dengan membanyakkan doa dan zikir kepada Allah serta melakukan Amal Ma’ruf dan Nahyi Munkar. Semoga Allah memberkati usaha kita semua.

 

Akhirkalam, marilah kita sama-sama memperbaharui lafaz sembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi ke Hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah ibni Al-Mahrum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.  Marilah kita sama-sama beriltizam untuk menyanjung tinggi apa jua titah perintah dan sentiasa mendokong kepimpinan dan kedaulatan raja yang dikasihi.

 

Sekian,

 

وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته