His Excellency's Message

Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin
Pengiran Haji Muhammad
Pesuruhjaya Tinggi
Suruhanjaya Tinggi
Negara Brunei Darussalam
London, United Kingdom


بسم الله الرحمن الرحيم

 

الحمد لله رب العالمين والعاقبة للمتقين والصلاة والسلام على رسول الله محمد و على آله و أصحابه أجمعين أما بعد

  

السلام عليكم و رحمة الله و بركات 

dan salam sejahtera

 

Alhamdullilah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana dengan izin dan limpahnya jua kita dapat dipertemukan di United Kingdom & Eire ini.  Pertama kali saya mengucapkan selamat datang dan setinggi tinggi tahniah kepada semua pelajar atas kejayaan mereka untuk melanjutkan pelajaran di United Kingdom dan Ireland. 

 Dalam usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035, setiap tahun kerajaan menghantar ratusan pelajar keluar negara untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti.  Ini tidak terkecuali pelajar-pelajar yang belajar di United Kingdom dan Eire kerana sumber manusia merupakan aset yang penting bagi pembangunan sesebuah negara.  Wawasan Negara 2035 merupakan gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pandangan baginda yang jauh kehadapan memastikan Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya, serta rakyat yang mempunyai kehidupan yang berkualiti dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

Dalam hubungan ini saya ingin mengimbas kembali titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sewaktu Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 tahun 2017, “Kita tidaklah wajar membiarkan wawasan ini sebagai satu retorik intelektual semata-mata, yang cuma indah dalam sebutan. Tetapi kita mesti melaksanakannya dengan penuh komitmen dan bersungguh-sungguh. Kita perlu bertindak lebih tangkas bagi menghasilkan impak yang tinggi yang boleh menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara”.

 

Justeru itu, untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035, pelajar-pelajar memainkan peranan yang penting sama ada di bawah biasiswa kerajaan, skim biasiswa yang lain atau persendirian.  Pelajar-pelajar hendaklah menjiwai dan melahirkan rasa tanggungjawab kepada negara.

 

Di dalam kesempatan ini juga, saya ingin mengingatkan semua pelajar Negara Brunei Darussalam di luar negara, terutama di United Kingdom & Eire ini untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan sebarang kemungkinan kejadian yang tidak diingini berlaku, ini berikutan dengan beberapa kes ancaman, penularan wabak penyakit dan sebagainya yang melanda di beberapa kawasan di negara ini.   Dengan itu, saya ingin menyarankan supaya pelajar-pelajar untuk memperbanyakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala bukan sahaja untuk menghindari daripada sesuatu yang yang tidak diingini tetapi juga dalam mencapai matlamat yang diingini di dalam hidup ini. Di dalam kehidupan seorang pelajar, doa dihasratkan sebagai suatu perkara yang amat penting sekali. Ini kerana, selain daripada menyedari hakikat bahawa pelajar juga adalah hamba Allah yang lemah, mereka juga tergolong di dalam golongan mereka yang mempunyai matlamat yang ingin dicapai.

 

Oleh yang demikian, marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala walaupun dimana sahaja kita berada dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya, beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat. Amin ya rabalamin.

 

Sebelum mengakhiri, marilah kita sama-sama memperbaharui lafaz sembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi ke Hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah ibni Al-Mahrum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.  Marilah kita sama-sama beriltizam untuk menyanjung tinggi apa jua titah perintah dan sentiasa mendokong kepimpinan dan kedaulatan raja yang dikasihi.